Selasa, 3 November 2009

Batik Pelangi -teknik ikat dan celup



Di Malaysia, kain yang mempunyai motif berwarna cerah atau warna muda seperti warna pelangi ini lazimnya digunakan sebagai kain selendang, jarang dibuat baju atau kain.

CARA membuat kain pelangi ini tidak serumit membuat kain limar.

PERNAHKAH anda mendengar tekstil tradisional yang dikenali kain pelangi? Kain ini pernah dipakai oleh kaum wanita Melayu zaman dahulu tetapi telah lenyap setelah tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Tekstil ini menggunakan teknik ikat celup seperti kain limar. Bezanya kain pelangi mengikat pada kain kosong yang telah siap, manakala kain limar dibuat dengan mengikat benang pakan sebelum benang itu ditenun. Tujuan teknik mengikat ini adalah untuk menghasilkan corak pada kain.




Di Malaysia, lazimnya kain pelangi digunakan sebagai kain selendang, jarang dibuat baju atau kain. Tetapi di Palembang dan di India, kain ini digunakan lebih meluas.

Kain pelangi yang dimaksudkan di sini adalah kain yang mempunyai motif-motif yang berwarna cerah atau warna muda seperti warna pelangi. Misalnya, merah jambu, kuning, putih, hijau muda dengan warna latarnya yang gelap contohnya biru tua, hijau tua dan merah tua. Teknik asal membuat kain pelangi, besar kemungkinan datang dari Gujerat, India. Ini kerana di India, masih ada kain ikat-celup seperti kain pelangi yang dibuat secara komesial dan dikenali dengan nama Bandhni maksudnya mengikat dalam bahasa India.

Ikat-celup kain pelangi adalah teknik di dalam kategori tekstil resis. Proses membuat sehelai kain selendang berukuran satu setengah meter memerlukan kain sutera atau kain kapas halus, supaya kain ini senang diserap pewarna. Terlebih dahulu corak dan motif perlu dirancang dan dilukis ke atas kain. Kemudian kain ini dijahit jelujur secara halus mengikut rekaan yang terdapat di kain tersebut. Setiap jahitan ke atas motif ditarik kemas dan diikat mati supaya menghalang perwarna menyerap di bahagian ikatan ini semasa mencelupkan pewarna. Biji saga atau biji kacang hijau boleh juga diikat untuk mendapatkan motif bulatan. Seterusnya kain yang telah diikat, dicelupkan ke dalam pewarna sebagai warna latar. Setelah kering, kain ini akan dibuka kesemua ikatan pada motif dan diperkemaskan. Proses seterusnya mewarnakan motif-motif yang dibuka ikatannya dengan warna yang biasa digunakan seperti warna merah jambu dan kuning atau dibiarkan putih iaitu warna asal kain. Cara mewarna perlu berhati-hati supaya warna itu tidak merebak ke tempat lain. Mewarna kain pelangi ini perlu mempunyai kesabaran dan ketelitian. Jika menggunakan warna asli alam perlulah mematikan warna dengan asam limau. Kain ini juga boleh menggunakan pewarna sintetik. Seterusnya kain pelangi ini dibilas dengan air bersih dan dijemur hingga kering. Kain pelangi ini, kemudiannya digosok dengan seterika panas dan boleh dipakai sebagai selendang.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...